JANUARI 2022

BKSS 8.0 Teruskan 7 Inisiatif, Bantu Pulihkan Sosioekonomi Rakyat


KUCHING: Kerajaan Sarawak melaksanakan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0 bagi membantu meringankan beban dan memulihkan sosioekonomi rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, pakej BKSS 8.0 ini menelan perbelanjaan sebanyak RM285.47 juta.

“Sukacita saya ingin maklumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan melaksanakan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 8.0 yang merangkumi 7 langkah yang telah diumumkan semasa Bajet Negeri 2022 pada 12 Oktober 2021.

“Langkah 1 ialah diskaun 5 peratus sehingga 25 peratus ke atas bil elektrik bulanan kepada pengguna domestik, komersil dan industri mulai bulan Januari hingga Jun 2022.

“Langkah 2 ialah diskaun bil air juga diskaun 10 peratus hingga 25 peratus ke atas bil air bulanan untuk pengguna domestik, komersil dan industri akan diteruskan mulai Januari hingga Jun 2022.

“Langkah 3 pula ialah diskaun 50 peratus sewa skim Perumahan Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) diteruskan bagi bulan Januari hingga Jun 2022.

“Langkah 4, pengecualian bayaran sewa kepada Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) yang beroperasi di premis-premis perniagaan milik Badan-Badan Berkanun dan syarikat-syarikat GLC Negeri bagi tempoh 6 bulan lagi iaitu Januari hingga Jun 2022.

“Langkah 5, diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk penjaja dan peniaga kecil akan diteruskan bagi bulan Januari hingga Jun 2022.

“Langkah 6, insentif sekali sahaja kepada pengusaha penambang, pengendali van penumpang berdaftar, pemandu teksi, pengendali bas dan van sekolah yang berdaftar di Sarawak bagi membolehkan mereka memberi perkhidmatan yang diperlukan.

“Langkah 7, geran kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan melalui sarawak pay berjumlah RM1,000 secara sekali sahaja (one-off) kepada 87,500 penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan dalam tahun ini,” katanya dalam satu sidang media khas mengenai BKSS 8.0 di Wisma Bapa Malaysia, Kuching pada Jumaat

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, bantuan ini merupakan komitmen Kerajaan Sarawak dalam usaha memulihkan sosioekonomi untuk kesejahteraan rakyat seperti pakej-pakej BKSS sebelum ini.

Ujarnya, Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha memastikan semua langkah yang telah diumumkan dalam pakej BKSS memberi manfaat kepada golongan sasar. -EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS